Selangor Belasah Negeri Sembilan Di Paroi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SEREMBAN – Selangor FC menyerlahkan kehebatan mereka apabila membelasah Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-0, pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Red Giants memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam carta liga di tempat kedua dengan mengumpul 49 mata.

Selangor mendominasi kedua-dua babak perlawanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kawasan kubu Negeri Sembilan.

Jentera serangan pasukan itu membabitkan gandingan Richmond Boakye Yiadom, Yohandry Jose Orozco dan Ayron Del Valle jelas agresif apabila kerap melakukan percubaan ke arah pintu gol Negeri Sembilan pada setiap babak.

Usaha anak buah Tan Cheng Hoe mendapatkan gol pertama membuahkan hasil menerusi gerakan pantas apabila sepakan padu Richmond Boakye dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil pada minit ke-26.

Skuad Hobin Jang Hobin yang hanya menurunkan dua pemain import iaitu Herold Goulon di posisi pertahanan dan Casagrande di barisan depan sesekali dilihat berjaya melepasi bahagian pertahanan pasukan Selangor, namun percubaan tidak menepati sasaran atau diselamatkan penjaga gol, Samuel Jacob Somerville.

Babak kedua menyaksikan Selangor menggandakan kekuatan mereka dan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-58 menerusi jaringan Ayron Del Valle.

Jaringan itu berpunca daripada kesilapan pemain pertahanan Negeri Sembilan yang gagal mengeluarkan bola dalam kawasan gol sekali gus memudahkan Del Valle menolak masuk.

Selangor melebarkan lagi jurang menerusi gol ketiga dan keempat menerusi jaringan Orozco pada minit ke-74 dan Harith Haiqal Adam Afkar pada minit ke-83 untuk menamatkan aksi dengan Selangor menang bergaya.

– BERITA HARIAN