MB Terengganu Masuk Pejabat Hari Pertama

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TERENGGANU – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, memulakan tugas pada hari pertamanya di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, kira-kira jam 9.05 pagi.

Ketibaan Ahmad Samsuri disambut Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Idham Mustafa dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Mohd Hasbi Kyairi Ahmad Fuad serta pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Sebagai simbolik, Ahmad Samsuri mengetip kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya dan menandatangani beberapa dokumen.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar untuk penggal kedua, semalam.

Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, pada jam 3.18 petang.

Ahmad Samsuri, 53, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS sebelum ini dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pada PRN lalu, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang disandangnya selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan memperoleh majoriti 17,286 undi.

Selepas menandatangani beberapa dokumen, Ahmad Samsuri ke tingkat U2 untuk mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO).

Antara agenda mesyuarat kali pertama adalah pelantikan portfolio 10 EXCO.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris antara muka baharu yang dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri.

Selain Razali, tiga lagi ADUN yang sebelum ini Timbalan EXCO kini menjawat jawatan sebagai EXCO penuh.

Mereka adalah Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Maliaman Kassim (Ajil) dan Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh).

Enam EXCO yang dikekalkan adalah ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat; Dr Azman Ibrahim (Jabi); Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam); Ariffin Deraman (Alor Limbat); Hanafiah Mat (Chukai) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

– BERITA HARIAN