MIAMI – Lionel Messi sekali lagi mencetus kebangkitan Inter Miami yang ketinggalan 2-0 sebelum menewaskan Cincinnati pada separuh akhir Piala Terbuka Amerika Syarikat.
Permainan diheret ke penentuan penalti selepas terikat 3-3 sebaik tamat masa tambahan aksi di Ohio.
Miami, yang memenangi Piala Liga juga menerusi penentuan penalti ketika menentang Nashville, Sabtu lalu, kini hanya selangkah untuk menjulang trofi kedua sejak ketibaan Messi bulan lalu.
Piala Terbuka AS adalah kejohanan tertua Amerika dan pertandingan kalah mati paling penting, yang bermula sejak tahun 1914 – seakan Piala FA England dan Piala Raja Sepanyol.
Miami akan melayan kunjungan Houston Dynamo untuk aksi final pada 27 September selepas skuad Texas itu menewaskan Real Salt Lake 3-1.
Inter ketinggalan 2-0 ketika permainan berbaki 22 minit sebelum Messi melakukan dua umpanan sempurna untuk Leonardo Campana menyamakan kedudukan.
Luciano Acosta meletakkan Cincinnati di depan pada minit ke-18 dan penyerang Amerika, Brandon Vazquez menambah jaringan pada minit ke-53.
Pada minit ke-68, Messi mengambil sepakan percuma yang ditanduk masuk oleh Campana untuk menghidupkan semula cabaran skuad kendalian Gerardo Martino.
Pada minit ketujuh masa kecederaan, Messi sekali lagi menghantar bola tepat ke arah Campana untuk jaringan yang mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Miami mendahului aksi masa tambahan menerusi Josef Martinez tetapi Cincinnati bangkit menyamakan kedudukan di babak kedua menerusi pemain sayap, Yaya Kubo.
Kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam penentuan penalti sebelum Drake Callender menyelamatkan sepakan Nick Hagglund dan Benjamin Cremaschi menyempurnakan penaltinya untuk kemenangan Miami.
– BERITA HARIAN