SEREMBAN – Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat bekalan selesa apabila menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-0, dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Kemenangan itu akan memudahkan tugas skuad Harimau Selatan menempah tiket ke separuh akhir kerana bakal beraksi di laman sendiri pada aksi suku akhir kedua, 23 September nanti.
Kehebatan JDT tercetus pada minit ke-14 apabila percubaan tepat Bergson Da Silva ditepis penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Firdaus Irman Mohd Fadhil sekali gus terselamat gawang skuad Hobin Jang Hobin.
Bagaimanapun gawang tuan rumah bocor akhirnya apabila bola lorongan Nathatel Shio Hong Wan, dimanfaatkan dengan baik Arif Aiman Mohd Hanafi apabila dia merembat padu dari luar kotak penalti pada minit ke-19.
Serangan JDT tidak berhenti di situ apabila pada minit ke-23, percubaan Heberty Fernandes de Andrade hampir menerjah jaring.
Berikutan kesilapan pemain pertahanan Negeri Sembilan, Nasrullah Hanif Johan menjatuhkan Bergson dalam kotak penalti, JDT mendapat penalti dan dia yang mengambil sepakan berkenaan mudah menewaskan Firdaus Irman untuk gol kedua pada minit ke-30.
Bersambung babak kedua, anak buah K Devan dilihat meningkatkan intensiti persembahan mereka dan berjaya memberikan saingan lebih baik terhadap JDT berbanding pada separuh masa pertama.
Bagaimanapun Bergson menambah derita Negeri Sembilan menerusi gol ketiga JDT pada minit ke-90, yang berpunca daripada sepakan bola mati dari luar kotak penalti, untuk pasukan itu pulang dengan kelebihan selesa menjelang aksi kedua di tempat sendiri.
– BERITA HARIAN