BENTONG – Lebih 300 Orang Asli Kampung Sungai Gapoi berhampiran Karak di sini bimbang kehilangan tempat tinggal dan mata pencarian disebabkan isu pemilikan tanah yang tidak selesai sejak sekian lama.
Bahkan, mereka yang terdiri daripada lebih 90 keluarga mendakwa berdepan kesukaran untuk mencari hasil hutan disebabkan terdapat halangan laluan di tanah-tanah di kawasan berkenaan.
Tok Batinnya, Ramli Mat berkata, permohonan untuk menyelesaikan isu status tanah kampung mereka agar digazetkan sebagai tanah Orang Asli telah dihantar kepada kerajaan sejak 10 tahun lalu.
Namun sehingga kini, katanya, tiada sebarang perkembangan mengenai status permohonan mereka menyebabkan penduduk tertanya-tanya.
“Sebab kami ni dah biasa bebas, nak masuk ke hutan tak ada halangan, kita nak cari rezeki dan mengharapkan hasil hutan dan pertanian untuk dijual sebagai hasil pendapatan bagi menyara kehidupan.
“Jadi isu (pemilikan) tanah ni penting kerana kami bimbang kalau pihak luar beli, penduduk susah cari pendapatan dan bimbang tempat tinggal kami pun terkesan,” katanya ditemui di sini pada Isnin.
Tambah Ramli, dia mahu isu tanah diberi keutamaan kerajaan selain pembangunan infrastruktur dan pendidikan serta kebajikan Orang Asli.
Katanya, sokongan tetap akan diberikan kepada Barisan Nasional (BN) namun parti kerajaan itu perlu menitikberatkan soal kebajikan mereka agar terus terbela.
“Saya harap calon dapat selesaikan isu tanah yang tidak selesai sejak sekian lama. Yang penting masalah ini selesai terlebih dahulu, lain tidak mengapa selesai kemudian,” katanya.
Seramai 204 Orang Asli Sungai Gapoi akan mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.
Dalam pada itu, calon BN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, isu pemilikan tanah kini dalam perhatian pihaknya dan perkara itu akan diambil tindakan dengan segera.
Pada masa sama, beliau juga mahu meningkatkan akses dan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli, jika diberikan mandat sebagai wakil rakyat kelak.
“Saya dah bincang dengan Tok Batin, tentang perkara yang boleh naikkan ekonomi dan pendapatan Orang Asli. Banyak perkara yang mendapat keputusan yang sangat menarik,” katanya.
– SINAR HARIAN