Azhar Idrus, 12 Lagi Pendakwah Selebriti Sah Terima Tauliah Daripada MAIDAM

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Seramai 12 lagi pendakwah selebriti turut menerima tauliah mengajar agama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, kumpulan pendakwah itu menerima sijil tauliah pada sesi temu duga hujung Mei lalu bersama-sama Ustaz Azhar Idrus.

Menurutnya, antara selebriti terlibat ialah PU Azihal (Azihal Bangsawan), PU Syed (Syed Mohd Bakri Syed Ishak), Abdullah Khairi Haroon, Prof Madya Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Ahmad Rizam Ghazali dan Syed Abdul Kadir Syed Hussin Al-Joofre.

“Tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab.

“Setakat ini lebih 1,300 termasuk pendakwah selebriti yang menerima tauliah daripada Maidam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Negeri Gong Badak di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, M Rozi berkata, pihaknya menggalakkan mana-mana individu yang berkelayakan dari segi ilmu agama untuk memohon mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah di masjid dan surau di seluruh Terengganu.

“Permohonan mereka akan dinilai dari beberapa aspek dan kriteria oleh satu jawatankuasa yang diketuai Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun.

“Bagaimanapun, bukan semua permohonan akan diluluskan kerana kriteria itu perlu dipatuhi sepenuhnya dan setelah diberi kelulusan, ia perlu dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” katanya.

Sebelum ini, isu tauliah mengajar agama menarik perhatian setelah JHEAT mengesahkan bahawa Azhar antara individu yang tidak mempunyai tauliah menyampaikam ceramah agama di Terengganu.

Bagaimanapun, teka teki mengenai isu tauliah itu terjawab pada Rabu selepas tular sijil tauliah mengajar agama di media sosial yang dikatakan telah diterima oleh Azhar.

 – Sinar Harian