LRA Karak 2 Siap Dan Mula Beroperasi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Perkhidmatan bekalan air di kawasan Lanchang, Temerloh bertambah baik apabila Loji Rawatan Air Karak 2 (LRA Karak 2) yang baharu telah siap dibina dan mula beroperasi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek dengan kos hampir RM38.5 juta termasuk pembinaan tangki perkhidmatan di Jambu Rias, Karak itu memberi manfaat bekalan air yang lebih stabil bukan sahaja di Karak malah dapat disalurkan ke beberapa kawasan lain di Lanchang sebagai bantuan liputan kawasan agihan.

Menurutnya, bekalan sedia ada untuk kawasan Lanchang daripada LRA Mempateh dan LRA Lubuk Kawah masih diteruskan.

“Melalui bantuan liputan agihan daripada LRA Karak 2, kawasan agihan terimaan di kawasan itu dapat dikecilkan.

“Justeru, kawasan-kawasan ‘blackspot’ yang sering mengalami gangguan bekalan air sebelum ini dapat dipulihkan dan mula menerima bekalan air yang lebih stabil serta bertekanan tinggi melalui inisiatif itu,” katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Rosdy berkata, antara kawasan yang menerima manfaat projek itu termasuk kawasan di antara Jambu Rias ke Kampung Kuala Kaung, kawasan sekitar Lanchang Estate dan kawasan sekitar.

“Permintaan bekalan air bagi kawasan Lanchang dan sekitar berjaya disalurkan dengan lebih stabil menerusi bantuan liputan agihan daripada LRA Karak 2 di samping bekalan sedia ada daripada LRA Lubuk Kawah dan LRA Mempateh,” katanya.

Tambah beliau, usaha berterusan jangka panjang bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air di kawasan Lanchang masih diteruskan menerusi beberapa projek yang masih diperingkat pelaksanaan.

“Antara projek menaik taraf pam air mentah LRA Lubuk Kawah dan kerja-kerja membaik pulih sistem agihan LRA Mempateh.

“Projek-projek itu bukti kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam memastikan mutu perkhidmatan bekalan air terus ditingkatkan bukan sahaja bagi kawasan Lanchang, malah untuk seluruh negeri Pahang,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan Paip akan terus melaksanakan segala projek dan inisiatif yang dirancang dalam Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1.

“Saya berharap usaha itu dapat diteruskan dan lebih banyak projek pembangunan dapat disiapkan segera demi keselesaan, kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya.

– SINAR HARIAN