MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti berkata tiada siapa menjangkakan Jude Bellingham terlalu tajam di depan pintu gol selepas pemain tengah itu meledak dua gol untuk membantu Madrid kembali ke puncak La Liga dengan kemenangan 4-0 ke atas Osasuna awal pagi tadi.
Kemenangan 1-0 Girona di Cadiz bermakna kelab kerdil Catalan itu mendahului satu mata buat seketika tetapi Madrid menang bergaya di Santiago Bernabeu untuk merampas kembali tangga teratas, dengan Vinicius Junior dan Joselu turut menyumbang gol.
Pemain antarabangsa England, Bellingham yang kini mendahului senarai penjaring liga dengan lapan gol, kelihatan tidak boleh dihalang apabila berada di kubu lawan.
Ancelotti mengubah peranan bekas pemain Borussia Dortmund itu kepada lebih menyerang dengan kekebasan untuk bergerak di belakang dua penyerang tengah dan ia ternyata berhasil.
Selepas menjaringkan gol solo menakjubkan menentang Napoli pada pertengahan minggu dalam Liga Juara-Juara dan menambah dua lagi berdepan Osasuna, pemain tengah itu sudah mengumpul 10 gol dalam 10 perlawanan bagi kedua-dua pertandingan.
“Bellingham menemui banyak peluang di serangan, dia banyak terbabit dalam gerakan serangan pasukan dan tidak mempunyai posisi khusus memberikannya kelebihan,” kata Ancelotti kepada wartawan.
“Ia permulaan musim yang mengejutkan daripadanya dalam semua aspek. Sudah tentu tiada siapa menjangkakan tahap ini, terutama dari segi jaringan.”
Bellingham memula dan menyudahkan gol kedua Madrid pada minit ke-55 ketika Madrid mendominasi, meluru ke hadapan dan bermain satu-dua dengan Fede Valverde sebelum merembat masuk.
“Saya suka membayangkan permainan, saya melihat padang, rumput, posisi permainan saya… dengan cara itu saya berasa lebih tenang,” kata Bellingham kepada Real Madrid TV.
Peminat memberikannya tepukan gemuruh ketika dia meninggalkan padang, dengan ramai yang menyanyikan korus lagu The Beatles “Hey Jude.”
“Saya tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih kepada peminat, mereka menyambut kehadiran saya ke dalam keluarga ini seperti keluarga mereka sendiri,” jelas Bellingham.
– AFP