Beras Sedia Ada Cukup Tampung Keperluan Sehingga Lima Bulan – Mat Sabu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan jumlah stok bagi menampung keperluan beras negara ketika ini mencukupi bagi tempoh sehingga lima bulan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, berdasarkan status semasa kedudukan stok beras negara, jumlah stok bekalan sehingga 3 Oktober adalah sebanyak 820,482 tan.

“(Ia) terdiri daripada 250,000 tan ‘stockpile’ (simpanan stok) kerajaan dan 570,482 tan stok dagangan,” katanya semasa sesi penerangan mengenai isu bekalan beras putih di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sejak pelancaran Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) pada 20 September, sebanyak 708,978 kampit BPT 10 kilogram (kg) telah diedarkan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Katanya, ia melalui rantaian peruncit seperti pasar raya, rantaian premis serta outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Beliau dalam pada itu turut menyatakan kenaikan harga beras putih import (BPI) secara mendadak di dunia dan larangan eksport oleh kerajaan India antara faktor pelaksanaan penyelarasan harganya.

“Bernas (Padiberas Nasional Berhad) telah mengumumkan pelarasan harga jualan BPI di pintu gudang seluruh negara daripada RM2,350 per tan metrik kepada RM3,200 per tan metrik berkuat kuasa pada 1 September lalu sejajar harga terkini BPI di pasaran antarabangsa.

“Sekiranya kenaikan harga BPI berterusan tanpa pelarasan harga jualan dilaksanakan, BERNAS akan mengalami kerugian pada tahun kewangan berakhir 31 Disember.

“Bernas juga dijangka hilang kemampuan untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersih pengimportan dengan pesawah sehingga membawa implikasi negatif kepada kerajaan,” katanya.

Menurutnya, harga jualan BPI akan diselaraskan BERNAS dari semasa ke semasa tertakluk kepada harga pasaran beras global dan kadar nilai tukaran mata wang.

– BERITA HARIAN