Etika Pakaian : Pelancong Asing Jangan Bimbang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam.

Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu

“Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti mereka lakukan sewaktu percutian di negeri ini.

“Mereka boleh memakai sut renang kalau hendak mandi di pantai pulau peranginan tetapi jangan melampau dan jangan  pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Kedai Payang.

“Kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka ke negeri ini tapi jangan ada yang melakukan sesuatu yang melanggar adab dan tatasusila contohnya minum arak secara terbuka di tempat umum,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre semalam.

Tambah, Razali berkata, sehingga hari ini, tiada seorang pelancong islam pernah dihukum kerana melanggar etika pemakaian itu.

“Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri masih dalam fasa mendidik, bukan mahu menghukum atau mengenakan denda,” katanya.

Untuk rekod, etika pemakaian yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut bertujuan mendidik pelancong Islam agar mematuhi pemakaian seperti mana yang disyariatkan Islam.

Beliau berkata, pemain industri pelancongan juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan dan tidak mencolok mata sepanjang berada di negeri ini,” ujarnya.

– TRDI