HULU TERENGGANU – Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk menjadikan Kenyir Geopark sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi para pelancong dalam usaha merancakkan pelancongan di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 1 juta pelancong ke Kenyir Geopark akan dapat dicapai dengan mudah.
“Sebagai contoh jika kita melancong ke negara China, akan ada tempat yang wajib dilawati dalam senarai seperti Tembok Besar…jadi kenapa kita tidak laksanakannya di Terengganu juga.
“Ini antara perkara yang akan saya bincangkan dengan pemain industri di Terengganu supaya masukkan Kenyir Geopark ke dalam senarai tempat menarik yang wajib dikunjungi jika datang ke negeri ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Jom Kenali Geopark di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini.
Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail.
Razali turut berkata, apabila pengunjung bertambah, ia akan secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk sekitar termasuk pengusaha rumah bot dan restoran.
Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang pakar dalam bidang Arkeologi khususnya selain mendidik masyarakat setempat tentang nilai geopark tersebut.
Dalam masa sama, beliau turut menyarankan para penggiat media sosial menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini.
Katanya, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan.
“Selain media arus perdana yang memainkan peranan penting, kita juga memerlukan media sosial kerana secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik,” ujarnya.
– TRDI