Kariah Masjid Sepakat Tanam Padi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Koperasi Kariah Masjid Tebakang (KOMIT) menggerakkan usaha menanam Padi Darat untuk menampung keperluan sebagai solusi mengukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.

Pengerusi Ahli Lembaga KOMIT, Senator Hussin Ismail berkata, usaha itu digerakkan secara bersepadu bersama Yayasan Amal Malaysia di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang disewa dengan bayaran RM1,000.

“Walaupun koperasi ini masih baru ditubuhkan setahun setelah didaftarkan pada Novermber tahun lepas dengan memiliki peserta seramai 70 orang.

“Kami cuba sedaya upaya menjadikannya sebagai satu satu program sara diri atau kendiri khusus untuk masyarakat luar bandar dan di kampung-kampung sebagai solusi alternatif terhadap keresahan yang dihadapi rakyat pada hari ini.

“Isu yang sangat besar dibicangkan di seluruh dunia sekarang bahawa bekalan beras dan isu keterjaminan makanan akan semakin meruncing menjelang tahun 2025,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian KOMIT dan Pelancaran Tanaman Padi Darat Sara Diri Bersama Yayasan Amal Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman.

Sementara itu Ariffin berkata, KOMIT telah memulakan langkah yang sangat baik dan perlu menjadi contoh kepada kariah masjid yang lain untuk turut menubuhkan koperasi komuniti berasaskan pertanian.

“Hendak tubuhkan koperasi komuniti seumpama ini minimum hanya perlu ada lima orang.

“Syabas dengan kejayaan KOMIT yang berjaya mengerakkan usaha alternatif keterjaminan makanan bagi menampung keperluan rakyat negeri ini terhadap bekalan beras dan mengurangkan kebergantungan beras yang diimport,” katanya.

– TRDI