RIYADH: Cristiano Ronaldo menjaringkan satu gol menakjubkan menerusi sepakan percuma ketika Al-Nassr bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Damac 2-1 pada aksi Liga Pro Saudi malam tadi.
Ronaldo menemui jaringan dari jarak lebih 23 meter apabila dia melencongkan bola melepasi lima benteng pertahanan pada minit ke-56, yang terbukti menjadi gol kemenangan.
Pemain berusia 38 tahun itu sebelumnya memainkan peranan sebagai pengacah untuk membantu rakan sepasukannya menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan percuma beberapa minit terdahulu.
Ronaldo berdiri seolah-olah mahu mengambil sepakan itu sebaliknya membiarkan Anderson Talisca merembat melepasi benteng dan penjaga gol Moustafa Zeghba.
Penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika aksi Liga Pro Saudi menentang Damac di Al-Awwal Park, Riyadh malam tadi. – Foto AFP
Jaringan Talisca membolehkan Al-Nassr menyamakan kedudukan 1-1 selepas bekas pemain sayap Tottenham, Georges-Kevin N’Koudou meletakkan Damac di depan sejurus sebelum rehat di Riyadh.
Kemenangan malam tadi membolehkan Ronaldo dan rakan sepasukannya mengumpul 22 mata daripada 10 aksi pertama liga musim ini.
Al-Nassr kini empat mata di belakang pendahulu Al-Hilal, yang baru-baru ini dikejutkan dengan berita bintang serangan mereka Neymar mungkin terpaksa berehat hingga hujung musim susulan kecederaan ACL. – AGENSI