KUALA LUMPUR: Penduduk di Gaza berasa tersisih di tengah-tengah serangan berterusan dilancarkan Israel ke atas wilayah terkepung itu, kata sukarelawan Palestin, Dr Tareq M Altalmas yang menggesa penyelesaian konkrit untuk mengakhiri ‘genosid’ berkenaan.
Penyelaras Misi Keamanan Global Malaysia (GPM) di pusat kemanusiaan di Gaza itu menegaskan, masyarakat antarabangsa perlu memberi tumpuan ke arah menghentikan kekejaman Israel, melalui usaha diplomasi.
“Malangnya, belum ada tindakan yang jelas dilakukan berhubung perkara ini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp, pada Khamis.
Tareq berkata, ia menyayat hati apabila menyaksikan kain kafan antara barangan dibawa masuk oleh trak bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui lintasan Rafah, baru-baru ini.
“Ia menyayat hati untuk menghantar kain kafan… (seolah-olah) mereka menunggu kita mati, namun perkara yang paling diperlukan ketika ini ialah kain kafan,” katanya.
Beliau sekali gus menjelaskan, 20 trak membawa bantuan kemanusiaan itu adalah tidak mencukupi untuk menampung keperluan seluruh penduduk Gaza.
“Ia bermakna setiap orang di Gaza akan mendapat 0.0000084 kotak makanan. Pada hari biasa, 500 trak memasuki Gaza, dan sekarang sudah 23 hari berlalu tanpa sebarang bantuan,” katanya.
Tareq dan pasukannya memberi tumpuan membekalkan keperluan asas seperti makanan, air serta kit kebersihan kepada mangsa yang cedera dan mereka yang hilang tempat tinggal di Bandar Gaza, kem pelarian al-Nusairat di tengah Semenanjung Gaza, dan Khan Yunis di selatan Gaza.
Selain bekalan perubatan, Tareq menekankan bahan api juga antara keperluan mendesak ketika ini bagi memastikan satu-satunya loji janakuasa elektrik di Gaza terus berfungsi.
Ia juga diperlukan bagi membantu hospital beroperasi, membolehkan kedai roti menghasilkan roti, dan membolehkan pusat penapisan air memproses air untuk diminum.
Beliau memaklumkan, sebuah hospital Indonesia telah menutup penjana elektrik utama dan kini bergantung pada penjana elektrik yang lebih kecil.
Ini bermakna hanya sebahagian kecil hospital dapat beroperasi disebabkan kekurangan bahan api.
Operasi pembedahan pula dilakukan di koridor-koridor hospital tanpa keperluan minimum seperti pensterilan alatan bedah atau anestetik.
“Terlalu banyak perkara diperlukan sebenarnya. Kami sebagai organisasi kemanusiaan, tidak dapat mencari makanan di pasar-pasar untuk dibekalkan kepada pelarian di sekolah-sekolah,” katanya.
Tareq juga menekankan keperluan membenarkan lebih ramai mangsa yang cedera untuk masuk ke Mesir bagi menerima rawatan lebih baik, kerana hanya sejumlah kecil dibenarkan memasuki negara itu, baru-baru ini.
“Pada mulanya, mereka membenarkan kemasukan 80 orang yang cedera, namun 10 daripadanya terpaksa pulang ke Gaza kerana tidak mempunyai pasport. Sebahagian daripada 10 pesakit itu telah meninggal dunia disebabkan kecederaan mereka.
“Ramai mangsa dibawa ke hospital dari kediaman mereka yang telah ranap, jadi kebanyakan pasport berada di bawah runtuhan. Kami mempunyai puluhan ribu pesakit cedera, dengan sektor perubatan yang lumpuh,” katanya.
Tareq berkata serangan udara Israel ke atas kem pelarian Jabalia pada Rabu lalu memburukkan lagi keadaan kerana kem itu menjadi kediaman sementara bagi kebanyakan penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal sejak ia ditubuhkan pada 1648.
Walaupun berlaku serangan itu, beliau berkata, orang ramai kekal berada di kem kerana tiada lagi tempat selamat di Gaza dengan operasi darat Israel telah memisahkan Gaza menjadi dua bahagian, iaitu selatan dan utara, sekali gus menghalang orang ramai daripada berpindah.
Lebih 9,000 rakyat Palestin sudah terbunuh dalam serangan Israel sejak 7 Oktober lalu dan lebih 32,000 lagi cedera, manakala lebih 2,060 masih hilang dengan kebanyakannya dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Data kerajaan juga menunjukkan lebih 1.5 juta rakyatnya hilang tempat tinggal, selain lebih 200,000 unit kediaman musnah, di samping 212 sekolah, 52 masjid dan tiga gereja, katanya.
– BERNAMA