KUALA BERANG: “Pernah juga orang terpinga-pinga apabila nama yang dipanggil lalu muncul saya di depan mereka.
“Apa tidaknya nama lelaki, namun yang datang seorang perempuan sekiranya berurusan di tempat orang tidak mengenali saya,” kata Alias Ali, 69, dari Kampung Cheting dekat sini.
Katanya, yang lebih mesra di panggil Kak Yah berkata, dia tidak mengambil hati sekiranya ada individu yang kehairanan apabila mengetahui dia memiliki nama seperti seorang lelaki.
Katanya, nama itu didaftarkan arwah neneknya ketika itu mengalami masalah pendengaran hingga menyebabkan namanya tersilap didaftarkan.
“Sepatutnya ayah daftarkan nama saya selepas dilahirkan, tetapi ayah ketika itu mengalami kecederaan akibat kakinya terkena kapak.
“Jadi, nenek buat pendaftaran kelahiran saya dan tidak menyangka akan memiliki nama seperti ini sehingga kini.
“Saya pernah membuat permohonan untuk menukar nama, namun selepas melalui proses yang rumit, saya kemudian akur untuk terus menggunakan nama yang unit bagi saya ini,” katanya yang juga ibu kepada lima cahaya mata.
Tambahnya, sebelum ini dia berhajat untuk menukar nama daripada Alias kepada Kamariah namun memandangkan prosedur yang rumit dia membatalkan hasrat itu.
Menurutnya yang juga nenek kepada 13 orang cucu berkata, keunikan namanya itu membuatkan individu di tempat dia berurusan biasanya kehairanan kerana menyangkakan dia seorang lelaki.
Katanya, tidak kurang yang terkejut dan ada juga yang ketawa kecil apabila mengetahui namanya itu, namun dia tidak mengambil hati kerana dia menganggap ia satu gurauan.
Kak Yah berkata, tiga lagi adik-beradiknya mempunyai nama biasa kerana tidak tersalah didaftarkan dan di usia senja kini dia sudah tidak mahu membuat pertukaran nama.
“Biarlah kekal dengan nama Alias, kerana sudah 69 tahun saya membawa nama ini dan bagi yang mengenali saya hanya memanggil dengan panggilan Kak Yah, sahaja.
“Alhamdulillah, nama ini kadang kala mencuit hati orang ramai ketika berurusan di tempat awam dan tiada yang mengejek serta menghina malah mereka hanya terkejut ,” katanya.
Bukan semua individu yang mempunyai nama berlainan dengan jantina dan dia menganggap ia takdir untuk memiliki nama sedemikian.
– BERITA HARIAN