Angka Kematian Rakyat Palestin Di Gaza Cecah 13,000 Orang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BANDARAYA GAZA : Angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt lepas mencecah 13,000 orang, termasuk lebih 5,500 kanak-kanak dan 3,500 wanita.

Menurut kenyataan pejabat media wilayah itu, jumlah kecederaan pula melebihi 30,000 orang dengan lebih 75 peratus daripada mereka kanak-kanak dan wanita, lapor Agensi Anadolu.

Jumlah penduduk yang hilang melepasi 6,000 orang dengan kebanyakan mereka disyaki tertimbus di bawah runtuhan bangunan.

Bilangan masjid yang musnah sepenuhnya sebanyak 83 dan 166 lagi rosak manakala tiga gereja turut menjadi sasaran serangan Israel, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad itu.

Selain itu, lebih 43,000 buah rumah musnah sepenuhnya manakala 225,000 lagi rosak, ini bermakna 60 peratus unit kediaman di Semenanjung Gaza terjejas akibat pengeboman Israel.

Menurut pihak berkuasa itu, sebanyak 25 hospital dan 52 pusat kesihatan tidak beroperasi sejak tentera penceroboh melancarkan serangan.

Tentera Israel juga menyasarkan 55 ambulans manakala berpuluh-puluh ambulans tidak beroperasi kerana kekurangan bahan api.

Menurut pejabat itu Israel dan komuniti antarabangsa bertanggungjawab sepenuhnya atas jenayah berterusan di Semenanjung Gaza.

Pejabat itu menyeru komuniti antarabangsa untuk terus memberi tekanan bagi menamatkan perang dan jenayah kemanusiaan selain menggesa bantuan dan bekalan perubatan serta bahan api untuk hospital.

— BERNAMA