Nur Aisyah Cipta Sejarah, Pelumba Lebuh Raya Wanita Pertama Beraksi Di Olimpik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NILAI: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memilih Nur Aisyah Mohd Zubir bagi menggalas cabaran negara dalam acara lebuh raya wanita di Sukan Olimpik Paris 2024.

Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas di kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuh Raya PKBM, Azman Abu Samah, berkata pemilihan Nur Aiyshah, 26, dibuat sebulat suara berdasarkan prestasi konsistennya selain berada di kedudukan ranking teratas pelumba wanita negara.

“Pemilihan Nur Aisyah dipersetujui oleh semua jurulatih negeri yang terbabit dan ia melalui perbincangan dari hati ke hati untuk memilih siapa yang betul-betul layak.

“Nur Aisyah dipilih berdasarkan mata ranking yang paling tinggi dan saya mengikuti Nur Aisyah sejak 2016 dan di setiap kejohanan dia paling konsisten, dia memang tidak mengecewakan kita,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat pemilihan pelumba wanita ke Olimpik Paris di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill dan jurulatih lebuhraya wanita kebangsaan, Amir Mustafa Rusli.

Selain Nur Aisyah, PKBM turut mempertimbangkan tiga lagi pelumba wanita iaitu Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Phi Kun Pan dan Yeong Zhen Yi.

Pemilihan Aisyah yang berasal dari Terengganu menyaksikan dia mencipta sejarah menjadi pelumba wanita pertama negara yang layak beraksi di pentas Sukan Olimpik bagi acara itu.

Sebagai rekod, Nur Aisyah sebelum ini berjaya memenangi pingat perak lebuh raya di Sukan SEA Hanoi 2022 selain perak untuk acara lebuh raya berpasukan dan satu gangsa kriterium manakala di Sukan SEA Kemboja, Mei lalu dia membawa pulang dua gangsa bagi acara lebuh raya dan kriterium.

Dia juga beraksi bersama skuad negara di Sukan Asia Hangzhou di China, September lalu.

– BERITA HARIAN