Kalau sebut ‘mango float’, mesti ramai yang terbayang minuman ala ice blended yang berperisa mangga. Tapi ini lain. Sebenarnya mango float adalah sejenis pencuci mulut yang cukup terkenal di Filipina. Lebih kurang macam kek batik, ianya dilapis-lapis dengan biskut kraker dan krim. Tapi versi mereka ini menggunakan buah mangga sebagai bahan utamanya.
Dalam artikel ini, kami berbesar hati kerana Puan Idah Hussein sudi berkongsi hasil air tangan beliau yang cukup unik. Biasalah, bulan puasa begini memang selera macam-macam. Siapa yang suka masam-masam lemak manis, cair di mulut, sejuk di perut, anda mesti cuba!
RESEPI ‘MANGO FLOAT DESSERT’
BAHAN-BAHAN
- 1 cawan whipping cream
- 1/2 tin susu pekat manis (nak manis letak lebih)
- 200 gm cream cheese
- 1/2 peket biskut cream cracker
- 4 biji mangga (dihiris memanjang)
- 2 keping biskut cream cracker (hancurkan)
- Loyang segi 4 tepat atau bekas yang bersesuaian
- Aluminium foil
- Susu segar (untuk rendam biskut bagi lembut)
CARA-CARA
1. Putar / Blender
Putar whipping cream hingga pekat, masukkan cream cheese dan susu pekat manis dan putar lagi. Kalau tak ada mixer, boleh juga guna blender. Tunggu hingga kembang dan sebati.
2. Sediakan Loyang
Sementara itu balutkan loyang dengan aluminium foil. Nak gunakan bekas lain tanpaaluminium foil pun boleh.
3. Rendam Biskut
Rendam biskut dalam susu segar kemudian masukkan kepingan biskut didalam loyang.
4. Lapiskan Dengan Cream Cheese
Masukkan adunan cream cheese dan ratakan.
5. Aturkan Hirisan Mangga
Kemudian aturkan hirisan mangga diatasnya. Ulang langkah 3-5 hingga habis.
6. Topping
Untuk lapisan atas, selepas cream cheese diratakan, tabur biskut cream cracker yang telah dihancurkan. Baki hirisan mangga dihiris dadu dan ditaburkan diatas bahan tadi.
Beginilah hasilnya.
7. Sejukkan
Akhir sekali, sejukkan di dalam freezer selama sekurang-kurangnya 3 jam, dan selepas itu mango float bolehlah dihidangkan.
Inilah rupanya selepas dikeluarkan dari freezer dan dipotong-potong. Terliur kan?
Nota: Mango float ini mudah cair ya, macam ais krim. Jadi, tak boleh terbiar lama dalam dalam suhu bilik. Masa nak makan baru keluarkan dan hidang.
NIKMATNYA DIMAKAN SEJUK-SEJUK!
Memang seronok kalau sesekali dapat hidangkan menu yang lain daripada lain untuk keluarga. Anak-anak pun confirm suka.
Jadi lepas ini jangan lupa cuba resepi mango float dessert yang sangat mudah dan begitu menyegarkan. Sesuai juga untuk dijamu semasa open house, potluck, dan sebagainya. Oleh kerana ada rasa lemak manis dan masam-masam buah mangga, mesti tak bosan memakannya.
Sumber : SirapLimau