2 beregu bikin resah Aaron-Wooi Yik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Kuala Lumpur: Beregu China, Liang Wei Keng-Wang Chang dan Chirag Shetty-Satwisairaj Rankireddy dari India menjadi igauan kepada pasangan negara yang menduduki ranking kedua dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Jelas Aaron yang kini dalam persiapan bagi menghadapi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 13 hingga 17 Disember ini, kedua-dua gandingan itu sedang berada dalam prestasi terbaik dan menjadi ancaman utama kepada mereka apabila beraksi di atas gelanggang.

“Nak cakap susah untuk kami menang itu, mungkin pasangan China, Wei Keng-Wang Chang dan beregu India, Chirag Shetty-Satwisairaj Rankireddy.

“Pasangan India itu, kalau ikutkan rekod pertemuan kami masih jauh mendahului tapi dua pertemuan terakhir, mereka menang.

“Saya rasa dua pasangan ini memang agak susah sekarang, mungkin mereka sudah menemui corak permainan yang sesuai untuk mereka,” kata Aaron.

Jelas Aaron, sejak tahun lalu, Shetty-Rankireddy sudah menemui corak permainan mereka sekali gus dirinya serta Wooi Yik perlu tahu bagaimana untuk mengatasi lawan mereka itu.

“Kalau kita lihat, jika mereka boleh sampai ke final, pasti mereka akan juara, jadi saya boleh katakan pemain China dan India itu, agak sempurna ketika ini,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, Wei Keng-Wang Chang yang menghuni ranking nombor satu dunia, menang lima daripada enam perlawanan ke atas Aaron-Wooi Yik.

Manakala untuk rekod pertemuan dengan Shetty-Rankireddy pula, Aaron-Wooi Yik menang lapan daripada 10 perlawanan namun tewas dalam dua pertemuan terakhir.

Sumber: Harian Metro