KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) berusaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam Piala AFC musim ini apabila berdepan Central Coast Mariners di Gosford, Ausralia petang esok.
Malah jurulatih Tomislav Steinbruckner mengintai peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dari Stadium Industree Group berdepan kelab terbaik Liga-A musim lalu.
Pengendali kelahiran Croatia itu melahirkan keyakinan selepas anak buahnya berjaya menundukkan lawan 1-0 pada pertembungan di laman sendiri dua bulan lalu.
“Misi kami ke Australia adalah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan kumpulan selepas empat perlawanan tanpa tewas bagi mengintai peluang melangkah ke pusingan seterusnya.
“Selain itu kami juga idam sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata dan misi ini boleh dilaksana jika pemain beraksi mengikut perancangan selain tidak terlalu menghormati lawan,” katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun Steinbruckner jelas bimbang kerana beliau tidak dapat menurunkan barisan idamannya seperti ketika menumpaskan kelab dari negara kanggaru itu di Kuala Terengganu.
Katanya, ketiadaan empat tonggak pertahanan – Azam Azmi Murad, Shahrul Nizam Ros Hasni, Safwan Mazlan dan Alif Zakaria jelas begitu dirasai selain boleh merencatkan perancangannya.
“Dalam perancangan, saya akan membawa masuk pertahanan import Uzbekistan, Sardor Kulmatov bagi mengimbangi barisan pertahanan bersama tiga pertahanan tempatan, kerana barisan pertahanan perkara asas dalam bola sepak.
“Jaringan awal penting buat kami untuk lebih bermotivasi selain mampu memberikan tekanan kepada tuan rumah, elakkan melakukan kesilapan mudah,” jelas jurulatih berusia 57 tahun itu.
– BERITA HARIAN