PEKAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang selepas dihanyutkan arus bersama motosikal ditunggangnya ketika pulang bekerja dalam kejadian di Ladang Sungai Bebar Utara, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zin berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira pukul 4.55 petang.
Menurutnya, ketika itu, mangsa Muhammad Adhwa Haslan, 31 tahun, bersama rakannya, Wafa Mohd Salleh, 33 tahun, yang juga menunggang motosikal, sedang melalui laluan utama ladang di jalan MR1.
“Sewaktu meredah air deras yang melimpah jalan tersebut sedalam 0.33 meter, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan, menyebabkan dia terbabas dan terjatuh ke dalam parit” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa hanyut dibawa arus bersama dengan motosikalnya.
Seorang pengawal keselamatan yang berada berhampiran bertindak terjun ke dalam air untuk cuba menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya kerana arus air parit yang terlalu deras.
Seramai 10 anggota Bomba dan Penyelamat Nenasi dan empat anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pekan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5.24 petang menggunakan teknik ‘surface searching’ di lokasi mangsa terjatuh.
Gerakan SAR dijadual disambung semula jam 8 pagi ini.
– AWANI