235 Peneroka Kerugian RM500,000 Angkara Gajah Liar Sejak 3 Tahun Lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

GUA MUSANG: Lebih 200 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baru, di sini, kerugian hampir RM500,000 sejak tiga tahun lalu apabila tanaman mereka musnah angkara gajah liar.

Malah, penduduk mendakwa, gajah liar terbabit turut berkeliaran di kawasan penempatan penduduk sejak seminggu lalu.

Dalam kejadian terbaharu Rabu lalu, seorang penduduk berdepan detik cemas apabila melihat kemunculan tiga ekor gajah berhampiran rumahnya.

Penduduk, Kartini Mohamed, 45, berkata dalam kejadian pada Rabu lalu itu, dia terkejut apabila melihat tiga ekor gajah berada di tepi rumahnya.

“Saya melihat dengan jelas tiga ekor gajah liar termasuk yang masih kecil berada di tepi rumah. Saya memaklumkan kepada suami dan hanya mendiamkan diri di dalam rumah.

“Sebelum ini gangguan gajah liar kerap berlaku di kawasan kebun penduduk. Namun sejak seminggu lalu, ia mula berkeliaran di kawasan kampung.

“Keadaan ini membimbangkan kami kerana ia boleh mengancam nyawa penduduk. Tambahan pula gajah liar terbabit membawa anak bersama,” katanya ketika di RKT Kesedar Renok Baru.

Rani Awang Su, 69, pula berkata setiap tahun sejak tiga tahun lalu peneroka di kawasan itu terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit.

Katanya, sepanjang tiga tahun ini, hampir RM500,000 kerugian terpaksa ditanggung peneroka apabila tanaman seperti kelapa sawit dan pisang dirosakkan gajah liar.

“Saya sangat berharap pihak berwajib dapat segera memindahkan gajah liar yang kini berkeliaran di kawasan penempatan sehingga menimbulkan ketakutan kepada 2,000 penduduk.

“Sampai bila kami penduduk terpaksa menanggung kerugian akibat serangan gajah liar ini. Sedangkan sebelum ini kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sejak saya tinggal di sini lebih 40 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani menasihatkan peneroka untuk membersihkan kawasan kebun dan rumah mereka bagi mengelakkan kemunculan haiwan gajah liar terbabit.

“Penduduk juga dinasihatkan untuk keluar berkerja secara berkumpulan. Selain itu, sekiranya terserempak dengan haiwan liar, segera menjarakkan diri dan bersembunyi di belakang pokok, serta mengelakkan dari melakukan provokasi terhadap gajah terbabit,” katanya.

– BERITA HARIAN