DOHA: Jurulatih China, Aleksandar Jankovic berkata pemainnya berasa “tertekan” selepas membuka kempen Piala Asia dengan keputusan seri 0-0 menentang Tajikistan yang tampil julung kali lewat malam tadi.
Keputusan seri di Doha lebih memalukan negara yang dikejutkan dengan skandal rasuah bola sepak tetapi mereka sepatutnya meraih kemenangan pada lewat perlawanan.
Naib juara pada 2004, China gagal menyaingi pasukan ranking ke-106 dunia namun kecewa selepas tandukan lewat Zhu Chenjie dibatalkan susulan semakan VAR.
Ejekan dan cemuhan penyokong China boleh didengar seketika selepas perlawanan berakhir.
Jankovic enggan menyalahkan pegawai โ “anda tidak selesaikan masalah dengan rungutan dan tangisan” โ tetapi mengakui pemainnya berasa tertekan.
“Menangani tekanan dalam satu kejohanan besar bukannya satu topik baharu secara umumnya,” kata pengendali dari Serbia itu.
“Banyak pasukan menghadapi masalah yang sama dan kami sudah bercakap banyak kali mengenai perkara ini. Namun kami berdepan kesukaran pada babak pertama.”
Perlawanan itu berlangsung lima hari selepas bekas jurulatih China, Li Tie tampil di televisyen kebangsaan untuk mengakui beliau membayar rasuah untuk mendapatkan jawatan itu selain terbabit dalam menetapkan keputusan perlawanan.
Skuad China di Qatar dipaksa menonton program televisyen itu, menurut media negara China.
Jankovic berkata beliau akan “membuat beberapa perubahan” sebelum pasukannya menentang Lubnan pada perlawanan kedua.
“Kami akan menghidupkan semula enjin pagi esok,” katanya.
“Tiada pasukan yang tersingkir dan tiada pasukan yang layak selepas satu perlawanan.”
China, yang menghuni ranking ke-79 dunia, berasakan mereka mampu meraih kemenangan apabila Zhu melonjak tinggi untuk menanduk masuk melepasi jangkauan penjaga gol Rustam Yatimov susulan tendangan sudut dengan permainan berbaki kurang 10 minit.
Namun gol itu dibatalkan VAR kerana ofsaid ketika bekas pertahanan remaja England, Tyias Browning yang kini mewakili China, berada di atas garisan gol.
“Terlalu mudah untuk membuat komen mengenai pengadil tetapi saya tidak akan melakukannya,” kata Jankovic. โ AFP