Bermula dengan sekadar pinjaman berus cat atau ‘pentbrush’ temannya yang mempercayai bakat seni lukisannya yang ada, seorang pelukis yang menetap di Chendering, Kuala Terengganu dikenali sebagai Zameer, kini giat melakukan bisnes seni lukis bersama-sama dengan anaknya, Rayyan.
“Tahun 2005 lagi saya dah mula melukis atas jasa seorang kawan. Zaman tu terkenal dengan motor skuter, dia suruh lukis dekat motor dia. Alat-alat semua dia punya, cuma dia tahu dan percaya saya boleh melukis”, katanya ketika ditemuramah.
Bakatnya tidak tersekat di situ, malah anaknya turut meminati perkara sama yang diminati ayahnya. Bak kata pepatah, bapak borek anak rintik. Bukan sahaja anak lelakinya, malah anak perempuannya juga turut terlibat sama. Kata Zameer, siapa saja kanak-kanak yang hadir ke rumahnya, galakan diberikan serta-merta kerana kreativiti setiap kanak-kanak adalah berbeza.
“Rosak setara manapun, kita boleh baiki. Cuma kena berani je’, ujarnya tidak menghadkan kreativiti sebagai anak seni lukis.
Beliau mula mempercayai bakatnya boleh dijual setelah karya seninya yang pertama dilukiskan pada sebuah motor skuter VS150 dengan kartun tazmania dewi. Oleh kerana pada awal kegiatannya banyak ‘autoshow’ dianjurkan di Malaysia, dia juga pernah mendapat tempat dalam pertandingan, yang lagi memberikannya semangat meneruskan ia sebagai satu kerjaya.
Tidak berniat untuk menjual karyanya pada fasa perintah kawalan pergerakan semasa COVID-19, namun setelah mendapat sambutan ramai orang, matanya terbuka untuk menjadikan ia sebagai satu sumber pendapatan ketika itu.
“Awalnya saya nak buat koleksi sahaja, saya conteng dekat helmet saya berkenaan ‘frontliners’ semasa COVID-19. Setelah menyiarkannya di Facebook, tak sangka ada satu kilang di Kuala Lumpur berminat mengeluarkan 10, 000 unit produk menggunakan ‘design’ saya. Rezeki, ahli keluarga saya semua terlibat menghasilkannya sama-sama.”, ulasnya lanjut tentang bagaimana permulaan seninya menjadi serius.
Ketika ditanya berkenaan karya seni yang mana paling banyak mendapat permintaan pelanggan, Zameer menjelaskan bahawa yang betul-betul percaya dan tegar sahaja yang berani menghantar kenderaan atau barangan milik masing-masing. Beliau tidak hanya menumpukan pada satu barang sahaja, malah suka mencuba barang-barangan lain. Selorohnya, “kalau ‘mood’ baik, hantar sebuah bas pun dalam masa dua hari boleh siap. Jika anginnya tak elok, bagi duit pun tak rasa nak buat.”
Bukan sahaja dalam bidang seni, semua perkara pasti ada cabaran tersendiri. Bagi Zameer pula, cabaran terbesarnya dalam menghasilkan sesuatu karya adalah idea. Beliau suka menampakkan ia lain daripada yang lain. Manakala anaknya, Rayyan yang sudah hampir tiga tahun mempelajari seni bersama ayahnya berkata, untuk melukis buih adalah susah kerana perlu menggunakan teknik yang betul supaya menjadi.
Meskipun demikian, Zameer menjelaskan sebenarnya nilai seni yang sebenar adalah pada bahagian yang salah contengan, dibetulkan mengikut kemahirannya, dan tidak perlu sempurna. Oleh kerana itu, Rayyan diminta menconteng secara serta-merta dan ideanya dicetus bermula disitu. Jelasnya, beliau suka sekiranya ramai kanak-kanak yang suka melukis datang ke rumahnya atau bengkelnya.
Zameer yang mempunyai sekitar lebih 560 ribu pengikut di aplikasi TikTok turut ingin memberikan pendedahan seni lukis menggunakan ‘pentbrush’ supaya orang ramai tidak memandang rendah akan seni lukis daripada rakyat Malaysia sendiri, tidak mengagungkan seni luar dan mengajak semua untuk berani mencuba sesuatu yang lain daripada yang lain.