Tampil malar segar dalam industri, penyanyi, pelakon, pengacara dan pelawak, Roslan Shah berjaya mengeluarkan single terbarunya pada tahun 2023 di usia 52 tahun. Menurutnya, beliau sekarang sedang sibuk merancang dan mempromosikan lagu barunya di semenanjung Malaysia, juga di Sabah dan Sarawak.
Membawa kelainan lain dari lagu hits terkini yang lebih mengkhususkan cinta, jiwang dan galau, Roslan Shah atau lebih mesra disapa Cik Lan berkata beliau sendiri terlibat dalam proses pembikinan lirik lagu, dan dikarang oleh komposer dari Indonesia.
Ketika ditanya berkenaan inspirasi dan ideanya mengeluarkan lagu ‘Rojak Maznah Ke Tuu’, beliau mengaitkan dengan hobinya suatu ketika dulu suka meniaga rojak. “Rojak saya yang paling spesial dan berbeza ialah tekstur kuahnya yang pekat likat. Yang mana resepinya diturunkan oleh arwah ibu saya’, ulasnya lanjut.
Turut mengetengahkan dialog Tan Sri P. Ramlee dalam cerita Seniman Bujang Lapok, beliau menggabungkan dialog tersebut bersama dengan perkataan Rojak. Beliau bersyukur apabila cadangan lagu ini diterima baik oleh komposer, dek kerana muziknya yang ‘catchy’ dan universal.
“Lagu ni saya rakam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, saja suka-suka. Saya ke show mana-mana saya bawa lagu ini sehinggakan peminat berbangsa Cina pun suka. Bila dah diketengahkan dan disunting pada Disember 2023, Alhamdulillah sekarang ni ramai permintaan untuk saya buat video klip pula’, katanya mengenai perkembangan terkini lagunya yang turut didengari di Singapura dan Batam, Riau Indonesia.
Perancangan masa hadapan sangat penting untuk kekal relevan dalam industri. Oleh sebab itu, Cik Lan juga sedang menyiapkan lagu seterusnya selepas mempromosikan lagu ini. Turut memberi klu, beliau memberi pembayang bahawa lagu seterusnya akan tercetus dengan kata ‘Menyalak’.
“Saya dulu ramai ‘haters’ sebab mulut ‘laser’. Sekarang ni saya perlahan-lahan balik kepangkal jalanlah, saya mengingati mati. Sebab itu saya suka bagi motivasi pada generasi sekarang.”, ujarnya berkait lagu seterusnya nanti.
Akhir sekali, beliau juga akan kembali aktif dalam bidang lakonan komedia dek tawaran yang diperoleh kerana perwatakannya yang menghiburkan. Kata Cik Lan, itu satu rezeki. Turut berkesempatan, beliau mengajak semua untuk mendengar lagu barunya di radio Manisfm.