Manis Xpres : Tyzo Xander Sedang Usahakan Podcast Sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Istimewa di segmen Manis Xpres bersempena dengan Hari Radio Sedunia, 13 Februari 2024, temuramah dikendali oleh Nura dan Wafiq diwarnai lagi bersama dengan bekas penyampai radio iaitu Tyzo Xander atau lebih mesra lagi disapa Tyzo.

Berkongsi perkembangan semasa, Tyzo baru sahaja pulang menunaikan umrah dan turut meminta doa diberi kesembuhan daripada batuk, berikutan perubahan suhu dan cuaca. Akan kembali beraksi bersama Sharifah Shahirah sebagai hos KNKV Viral Award, beliau turut mengharapkan sokongan orang ramai.

Tyzo atau nama sebenar Tuah Zoqarnain Idris juga sedang mengusahakan satu audio siar radio setelah lama berkecimpung dalam dunia penyiaran selama 25 tahun.

“Bermula dengan Muzik FM ke stesen swasta, seterusnya ke Selangor FM dan kembali ke stesen swasta, dalam 20 tahun sudah usia melibatkan diri dalam industri penyiaran radio”, ujarnya mengenai usia penyertaannya dalam industri.

Bercerita tentang minat, kata Tyzo, beliau tidak begitu gemar menjadi penyampai radio, minatnya lebih kepada berlakon, mengacara dan juga menyanyi. Kerana peluang pekerjaan yang sedikit ketika awal penglibatan menjadikan bakatnya kurang menyerlah dan tidak menonjol. Tambah lagi, perwatakannya pula kurang bergaul, pemalu atau disifatkan sebagai introvert ketika itu.

Namunpun begitu, bakatnya dihargai orang sekeliling. Seorang kawannya menyarankan beliau menyertai radio dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)  adalah tempat bakatnya diuji dan seterusnya terpilih.

Diselingkan dengan soalan mengenai tawaran berlakon dek parasnya yang segak, katanya beliau tidak memilih watak bahkan watak yang gemar mengekspresikan wajah adalah menjadi pilihan utama. “Taknaklah banyak dialog, susah nak hafal nanti menyusahkan pelakon lain”, selorohnya.

“Pernah menangis dalam hati kerana menjadi penyampai juga menuntut lagak yang ceria untuk bahagiakan orang lain, umpama lilin yang membakar diri. Ini semua dunia tipu-tipu”, itulah antara cabaran Tyzo menjadi penyampai radio yang tak dapat dilupakan selain kontroversinya yang terpalit di stesen radio swasta sebelum ini.

Tidak berkongsi banyak berkenaan momen manis dalam industri radio, Tyzo yang pernah memenangi ‘Penyampai Radio Popular’ dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 berkata beliau lemah dalam mengingati memori jangka pendek tapi seingatnya kerjayanya sederhana sahaja.

“Tidak mudah menjadi penyampai yang diingati dan disegani, sangat sukar untuk buat orang tersenyum. Semua orang boleh jadi penyampai radio akan tetapi tanggungjawabnya berat. Cara kita perlu berbeza mengikut suasana dan keadaan kita dan perlu menggunakan bahasa yang sesuai”, jelasnya lagi menepis sekerasnya kenyataan bahawa menjadi penyampai radio adalah suatu perkara yang mudah.

Mengakhiri sesi temuramah dengan nasihat, beliau mengharapkan golongan penyampai takkira baru atau lama untuk sentiasa buat yang terbaik, utamakan adab ketika melayani peminat untuk mencapai kecemerlangan pada masa akan datang.