KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah kerugian lebih RM1.4 juta setelah terperdaya taktik penyamaran sindiket penipuan kewangan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kes terbabit berlaku di Kajang, Selangor pada awal bulan ini dan ia merupakan kerugian tertinggi yang direkodkan bagi kes penyamaran sebagai pegawai NSRC.
Beliau berkata mangsa seorang wanita berumur 61 tahun diarahkan untuk mengikut segala arahan diberikan sehingga membuat pindahan wang ke akaun yang ditetapkan.
“Dalam kes-kes ini, mangsa akan menerima panggilan daripada individu mendakwa pegawai dari NSRC. ‘Pegawai’ tersebut kemudiannya memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa kerana terdapat aduan bahawa nombor telefon itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam sidang media mingguan JSJK di sini hari ini.
Beliau berkata komunikasi NSRC adalah berbentuk komunikasi sehala sahaja, ia tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu dan sebarang panggilan yang mengaku dari pihak NSRC adalah satu penipuan.
Sementara itu, Ramli memaklumkan sejak 1 Jan hingga 11 Feb tahun ini, sebanyak 18 kertas siasatan dibuka berkaitan kes penyamaran sebagai pegawai NSRC melibatkan nilai kerugian RM1,490,582.79.
“Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, Polis Diraja Malaysi (PDRM) menggesa mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 bagi melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan lebih tinggi,” katanya.
— BERNAMA