Penghijrahan Ke TFC Keputusan Sendiri – Akhyar Rashid

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS: Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Akhyar Rashid mengakui penghijrahannya ke skuad Penyu musim ini, atas pilihannya sendiri.

Pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau perlu membuat keputusan meninggalkan kelab gergasi negara, bagi mendapatkan lebih minit permainan sekali gus meningkatkan prestasinya dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun Akhyar mengakui keputusan tersebut agak berat, memandangkan JDT merupakan pasukan terbaik dan memiliki fasiliti yang lengkap daripada semua aspek.

“Memang agak berat untuk tinggalkan JDT kerana sudah selesa di sana. Semua rakan, jurulatih dan fasiliti di sana, berkelas dunia serta terbaik.

“Tetapi umur saya sudah masuk 25 tahun, saya perlu dapatkan lebih minit permainan untuk tingkatkan prestasi dan kekal relevan dalam Liga Malaysia (Liga M),” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Jelas Akhyar beliau memilih Terengganu sebagai destinasi perpindahan, kerana reputasi kelab itu yang baik dan tidak kurang hebatnya berbanding JDT.

Malah keputusannya itu turut mendapat sokongan daripada keluarga, yang mahukan beliau terus melangkah maju dalam bidang bola sepak.

“Saya sendiri yang menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC (TFC) (Mohd Sabri Abas) untuk menyatakan hasrat ke Skuad Penyu, selepas dilepaskan secara pinjaman oleh JDT.

“TFC antara pasukan terbaik di Malaysia dan agak lengkap daripada semua posisi serta aspek. Lagi pun Pawi (Safawi Rasid), rakan sepasukan di JDT juga dipinjamkan ke TFC musim ini,” katanya yang berasal dari Kedah.

— BERNAMA