KUALA NERUS – Perkhemahan Ibadah Peringkat KRT Kg Padang Air 2024 yang memasuki edisi ke-9 penganjuran berjaya menarik 130 orang peserta di kalangan umur 7 hingga 17 tahun.
Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, YM Tengku Mazilawati Tengku Mohamad berkata, program anjuran KRT Kg Padang Air dengan kerjasama Masjid Kg Padang Air ini bertujuan memupuk rutin solat di masjid seawal usia 7 tahun agar terbiasa ke masjid sejak kecil selain boleh membentuk semangat setiakawan dan jatidiri sesama warga kampung.
“Ini dapat dilihat dengan peranan yang dimainkan oleh orang muda dan warga tua dapat bergaul sesama kanak-kanak dalam menjayakan program ini”.
Tambahnya, “selain itu kita dapat lihat peranan AJK KRT Kg Padang Air serta warga Kampung Padang Air bekerjasama dalam menjayakan program ini ; Menyediakan tapak perkhemahan, memasang khemah peserta, memasak dan turut serta bersengkang mata menjaga keselamatan peserta pada waktu malam.”
“Kg Padang Air sudah ada trademark tersendiri dan tiada lagi di KRT kawasan lain yang pernah mengadakan program perkhemahan sebegini dan saya turut mencadangkan untuk KRT Kg Padang Air mengelolakan perkhemahan peringkat Daerah Kuala Nerus dan KRT Kg Padang Air sebagai tuan rumah”, katanya ketika ditemui pada majlis penutup Perkhemahan Ibadah Peringkat KRT Kg Padang Air.
Turut hadir di majlis perasmian penutup, YM Tengku Mazilawati binti Tengku Mohamad Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu, Puan Noor Aida Yusniza Yusof, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Terengganu dan Pengerusi KRT Kg Padang Air, Abd Rahman Idris.
Antara pengisian pada program berkenaan ialah cara solat orang sakit dan slot Motivasi bertajuk Hubungan dengan Allah, Rasul & Manusia disampaikan oleh Ustaz Syafiq Ambak, Mantan Imam Masjid Al Mukhtafi Billah Shah.