Swcorp Pahang Jangka 1,400 Tan Pelupusan Sisa Pepejal Sehari Sebelum Raya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, peningkatan sehingga 1,400 tan sehari menjelang musim perayaan Aidilfitri ini dianggarkan antara lima hingga 10 peratus berbanding pada hari biasa sekitar 1,200 tan sehari ketika ini.

Menurutnya, kadar pelupusan itu dijangka kembali menurun seminggu selepas Aidilfitri berdasarkan data yang dikeluarkan pada tahun lalu.

Seramai 3,500 petugas dan 250 jentera kutipan akan ditugaskan bagi menjalankan kerja-kerja kutipan sisa pepejal serta pukal di sepanjang tempoh perayaan di seluruh daerah di Pahang.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan tiada limpahan atau longgokan sampah pada musim perayaan ini.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai terutama penduduk taman-taman perumahan memastikan agar kenderaan yang diparkir di luar pagar tidak menghalang laluan lori sampah bagi mengelak kelewatan kutipan.

Pada masa sama, bagi kawasan yang mengalami kacau ganggu haiwan liar juga diminta menguruskan sisa sampah dengan meletakkan ke dalam tong dengan sempurna bagi mengelak ia bertaburan akibat diselongkar.-SINARHARIAN