SHAH ALAM: Peguam Selangor FC Haijan Omar mendedahkan sehingga kini anak guamnya yang juga tonggak Harimau Malaya Faisal Halim tidak dimaklumkan perkembangan siasatan kes simbah asid bulan lalu.
Namun begitu, pihaknya yakin polis sedang melakukan siasatan secara profesional dalam usaha mengheret pelaku ke muka pengadilan.
“Kami mempunyai keyakinan penuh polis sedang melakukan siasatan dengan terbaik dan tahap profesionalisme tinggi.
“Saya percaya polis boleh mengheret pelaku pada masa sama kami akan membantu beri kerjasama kepada polis.
“Melihat kepada kronologi termasuk senjata digunakan adalah asid amat jelas dan kami percaya ia adalah keadaan yang sesuai untuk sesuatu siasatan di bawah kesalahan jenayah serius Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata bahaya atau Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas percubaan membunuh.
“Saya percaya polis lebih pakar untuk tahu apa akta lebih sesuai untuk dijalankan atas kes ini,” katanya semasa sidang media bersama Faisal di Pusat Latihan Pasukan Bola Sepak Selangor.
Beliau dimaklumkan kali terakhir Faisal didatangi pihak polis ialah semasa anak guam menerima rawatan di ICU.
Dalam perkembangan sama beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi susulan kejadian itu termasuk mendengar cerita yang belum pasti kesahihannya di media sosial.
Selain itu, Haijan berkata akan mewakili anak guamnya dengan pihak berkuasa untuk mengetahui perkembangan terkini siasatan kes simbahan asid itu.
“Dari semasa ke semasa, kita akan sentiasa berhubung dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan siasatan membabitkan kes itu,” katanya.
Serangan pada 5 Mei lalu itu menyebabkan pemain Selangor FC dan Harimau Malaya itu mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
– AWANI