Serik Lemang Tenggelam Banjir, Peniaga Cipta ‘Ketuhar Gergasi’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT – Pernah ditimpa banjir kilat sehingga 600 batang lemang musnah ditenggelami air, seorang peniaga dari Kampung Alor Belanga di sini mengambil inisiatif membina tempat membakar lemang digelar ‘gok’ bagi melancarkan proses memasak.

Mohd Zailani Mohd Nor, 49, berkata, kejadian banjir kilat empat tahun lalu masih segar dalam ingatan kerana menyebabkannya mengalami kerugian besar.

Katanya, sebagai persediaan, dia membina gok menggunakan simen dan tanah liat dengan modal sekitar RM100.

“Waktu kejadian empat tahun lepas, tempoh memasak lemang agak panjang kerana saya tidak terfikir lagi untuk mencipta kaedah ini. Waktu hujan lebat melanda dalam tempoh singkat menyebabkan semua lemang saya rosak.

“Sebab itu saya ambil langkah untuk bina gok ini bagi mempercepatkan proses pembakaran lemang dari tiga jam setengah kepada dua jam setengah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, baru-baru ini.

Mohd Zailani yang juga pekebun berkata, persediaan itu perlu dilakukan memandangkan musim perayaan adalah waktu yang ditunggu-tunggu bagi meraih pendapatan sampingan hasil jualan lemang.

“Apabila api dihidupkan pada bahagian kayu bakar, wap panas akan memanaskan ruangan lemang dan secara tidak langsung proses memasak berlaku,” katanya yang menerima tempahan lebih 200 batang lemang pada Hari Raya Aidiladha kali ini.

Mohd Zailani berkata, dengan adanya tempat membakar lemang itu, dia tidak memerlukan sumber tenaga yang ramai untuk menyiapkan tempahan lemang malah ia sempat disediakan pada hari perayaan.

“Biasanya lemang ni rasanya lebih enak dimakan sebaik siap dimasak sebab waktu itu pulutnya masih lembut.

“Dengan adanya tempat memasak ini saya dapat sediakan juadah itu untuk dihidangkan panas-panas kepada pelanggan,” ujarnya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, dia berhasrat untuk membina gok lebih besar bagi menampung permintaan yang tinggi pada masa akan datang.

“Sekarang ni gok yang saya bina ini hanya boleh memuatkan kira-kira 70 batang lemang dalam satu masa.

“Selepas ini saya merancang untuk membesarkan lagi tempat ini bagi memenuhi permintaan yang meningkat,” katanya.

– SINAR HARIAN