BENTONG: Seorang lelaki maut selepas kereta mewah Lamborghini yang dipandunya terbakar di KM 57.1 Lebuhraya Karak Arah Timur di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 9.06 pagi.
Menurutnya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Lamborghini yang telah terbabas dengan peraturan kebakaran kira-kira 100 peratus.
“Seorang lelaki dewasa iaitu pemandu tersepit di dalam kereta manakala satu perempuan dewasa iaitu penumpang kereta telah dikeluarkan dan dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, pihaknya menjalankan kerja-kerja pemadaman menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera selain mengeluarkan mangsa.
Katanya, pemandu yang tersepit disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
– AWANI