KUANTAN: Musim durian di Malaysia dijangka berterusan sehingga Oktober depan.
Ia berikutan musim buah berkenaan kali ini berlaku secara berperingkat mengikut negeri. Selepas Perak dan Pulau Pinang, kini durian Johor mula gugur dan selepas ini Pahang.
Peniaga buah, Mohd Kamarul Hafsan Yaacob, berkata kini durian dari Segamat dan beberapa daerah lain di Johor memenuhi pasaran tempatan, membabitkan pelbagai durian klon dan durian kampung.
Menurutnya, disebabkan pengeluaran yang banyak secara serentak menyebabkan harga ‘raja buah’ itu kini boleh dikatakan lebih rendah berbanding sebelum ini, terutama beberapa klon seperti Musang King, Udang Merah dan IOI.
Katanya, dia menjual durian klon pada harga lebih rendah kerana harga belian di dusun lebih murah, contoh Musang King gred A yang sebelum ini dijual antara RM50 hingga RM70 sekilogram (kg) turun kepada antara RM25 hingga RM30.
“Setiap hari saya menerima bekalan buah terus dari ladang di Johor dan Sungai Jerik, Maran, Pahang, yang dipajak. Ada lebih 10 jenis, termasuk durian kampung dan klon seperti Musang King, Kunyit, Udang Merah, IOI, Kasak Merah, Teka, D24 dan Tupai King.
“Disebabkan harga ladang yang rendah dan pengeluaran secara serentak, saya boleh jual pada harga lebih rendah antara RM6 hingga RM35kg,” katanya yang berniaga di tepi Jalan Gambang-Kuantan dekat Batu Tiga, di sini.
Setiap hari sejak dua minggu lalu, Mohd Kamarul Hasan yang berniaga dari jam 10 pagi hingga 1 pagi keesokannya, mampu menjual lebih empat tan pelbagai jenis durian dan menjana hasil antara RM50,000 hingga RM60,000.
“Setiap hari antara 500 hingga 700 pelanggan singgah gerai. Saya turut menyediakan 50 meja, air minuman percuma dan tempat letak kenderaan,” katanya yang menggajikan 12 pembantu untuk melayan pelanggan, yang bertambah dua hingga empat kali ganda pada hujung minggu.
– BERITA HARIAN