Pemandu Bas Persiaran Terbabit Nahas Di Genting Didakwa 2 Pertuduhan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbabit kemalangan yang mengakibatkan dua kematian di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Genting Highlands pada 29 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Raub di sini hari ini.

S Anand Kumar, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dihadapi ketika kedua-duanya dibacakan di hadapan Majistret Siti Aishah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya dan Seksyen 26(1) kerana memandu tanpa lesen yang sah.

Anand memandu bas persiaran yang terbalik dan membunuh dua warga China – Zhang Ping, 58 dan Wang Shuhong, 49, selain mencederakan 19 yang lain dalam kemalangan itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala Anand tidak diwakili peguam.

Sebelum ini polis mengesahkan pemandu bas persiaran dalam kes itu tidak tidak memiliki lesen memandu, malah mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi 29 Jun lalu, bas persiaran membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di KM 16.5 jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ibu negara.

Semua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas, manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

– BERITA HARIAN