KUANTAN: Berazam untuk merubah kehidupan keluarganya mendorong anak seorang buruh kampung Muhammad Syahid Ammar Awang belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Muhammad Syahid Ammar, 20, berkata dengan keputusan cemerlang itu peluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi lebih cerah dan diharap menjadi langkah permulaan untuk dia memenuhi impian menjadi arkitek suatu masa kelak demi membantu keluarga.
“Saya anggap Tingkatan Enam ini buka peluang lebih cerah untuk ke univesiti, jadi saya cuba belajar bersungguh-sunguh dengan mengamalkan teknik belajar bercakap dengan diri sendiri ketika menghafal matapelajaran yang sukar seperti Sejarah, Pengajian Am, Pengajian Perniagaan dan Seni Visual.
“Guru juga banyak membantu saya memahami sesuatu perkara, terima kasih kepada mereka kerana tidak jemu untuk mendidik saya hingga dapat keputusan cemerlang,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar itu ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Anak kepada pasangan Awang Jaya, 54, dan Aniza Mohamad, 50, itu mengakui agak gementar untuk mengetahui keputusan peperiksaannya hingga tidak boleh tidur sebelum mendapat panggilan awal pagi tadi yang meminta dia hadir ke sekolah.
Berkongsi cerita ibu Muhammad Syahid Ammar, Aniza berkata anak lelakinya itu tidak dimaklumkan mengapa diminta hadir ke sekolah oleh gurunya dan dia pergi dengan perasaan tertanya-tanya.
“Dia tak tidur dua malam kerana risau dengan keputusan STPM, tetapi saya pesan apa juga keputusannya kena terima kerana dia sudah berusaha sedaya-upaya. Syahid anak yang rajin dan tidak pernah menyusahkan saya dan suami, setiap benda yang dia nak akan diusahakan hingga dapat.
“Saya mendoakan dia terus cemerlang dan dapat kehidupan yang lebih baik, dia anak harapan keluarga dan saya bangga dengan pencapaiannya hari ini,” katanya yang menetap di Kampung Sungai Ular di sini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang Ahmad Zamri Md Isa berkata 106 calon bersamaan 5.46 peratus telah mendapat keputusan tertinggi PNGK 4.00 berbanding pencapaian lepas seramai 78 calon iaitu 3.88 peratus.
Beliau turut memaklumkan peperiksaan STPM 2023 Pahang menunjukkan prestasi membanggakan apabila buat kali pertama negeri itu melepasi GPS 3.00 sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPN) 2.84.
— BERNAMA