HoSZA, Hospital Pertama Pantai Timur Guna Digital Laparoscopic Suite

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS  – Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) melakar sejarahnya tersendiri apabila menjadi hospital pertama di Pantai Timur  menggunakan Digital Laparoscopic Suite bagi tujuan pembedahan laparoskopi (MIS).

Pakar Bedah Kolorektal HoSZA, Dr. (Mr.) Ahmad Fardi Sulaiman, berkata dengan adanya kaedah ini ia dapat membantu pesakit secara amnya untuk pulih dengan cepat, kos efektif dan pesakit mengalami tahap kesakitan pasca pembedahan lebih rendah berbanding pembedahan bukaan besar (laparotomy).

Katanya, selain untuk pembedahan, kaedah itu juga adalah bertujuan untuk latihan, pengajian dan pembelajaran di HoSZA.

“Kaedah ini juga dapat membantu mengecilkan lukaan dan juga kebanyakkan pesakit dapat bangun atau berjalan dari katil dengan lebih cepat.

“Dengan adanya Digital Laparoscopic Suite ini, pembedahan mampu dilakukan secara siaran langsung dan kita juga dapat pancarkan secara telecast di beberapa tempat lain antaranya Bilik Seminar, Auditorium bahkan juga platform siaran maya iaitu google meet dan webex.

“Ini semestinya dapat membantu doctor dan pelajar terutamanya di UniSZA untuk melihat lebih dekat apa dan bagaimana pakar-pakar melalukan pembedahan tanpa mereka berada di dalam dewan pembedahan”, katanya selepas melakukan pembedahan kepada pesakit kanser usus, hari ini.

Menurut Dr. Ahmad Fardi,  dari tahun 2018-2022, sebanyak 371 kes dalam pangkalan data Kanser Kolorektal Terengganu dan 146 pesakit (40 peratus) hadir ke hospital dengan keadaan yang memerlukan pembedahan kecemasan.

“Kebanyakan pesakit datang dengan gejala usus tersumbat seramai 106 orang (72 peratus) dan pendarahan 21 orang (14 peratus).

“Hasil pembentangan ini membawa hasil penyakit yang buruk, morbiditi yang lebih tinggi, beban kesihatan yang ketara dan peningkatan eksponen dalam kos kumulatif kepada Kerajaan bagi merawat kanser ini”, katanya.

Menurut beliau, lebih memburukkan lagi, pada tahun 2023 sahaja, telah merekodkan seramai 218 kes baharu kanser kolorektal yang mendapatkan rawatan di semua hospital utama di Terengganu.

  • TRDI