KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli ke Pesta Kuantan 188 yang berlangsung di Kuantan 188, di sini, malam tadi.
Ketibaan baginda berdua ke menara kedua tertinggi di Malaysia itu pada 9 malam disambut paduka anakanda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan kerabat diraja yang lain.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hospitality 360 Sdn Bhd, Datuk Seri Omar Naresh Mohan dan Pengarah Urusan Kuantan 188, Datuk Zulkifli Mohamad.
Majlis yang diadakan bersempena memuliakan ulang tahun hari keputeraan Al-Sultan Abdullah pada 30 Julai dan Tunku Azizah pada 5 Ogos dimeriahkan dengan acara memotong kek dan pulut kuning, di samping pertunjukan bunga api.
Selain itu, majlis yang memasuki kali ketiga penganjurannya turut diserikan dengan persembahan nyanyian artis terkenal Ratu Runut Bunyi, Melly Goeslow; Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah, Black Hanifah dan DeFam.
Al-Sultan Abdullah turut mencuri perhatian apabila berkenan naik ke pentas berduet bersama Jamal mendendangkan lagu Gadis Melayu.
Pesta Kuantan yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam turut menganjurkan Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 selain perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 110 kereta antik. – BERNAMA