Suri Rumah Rugi Lebih RM140,000 Akibat Pelaburan Palsu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang suri rumah menanggung kerugian apabila wang simpanan berjumlah RM144,750 lesap, selepas menjadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, wanita berusia 44 tahun, berminat untuk menyertai pelaburan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Investment Trusted di media sosial Telegram pada 21 Julai lalu.

Menurutnya, mangsa telah melabur sebanyak RM1,000 dan memperoleh pulangan sebanyak RM30,000 dalam masa singkat.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat bayaran wang proses untuk menebus hasil pelaburan.

“Dalam tempoh 21 Julai hingga 3 Ogos mangsa melakukan 21 transaksi dengan memasuki wang RM144,750 dalam 13 akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa mula menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan pelaburan berkenaan.

Jelasnya, susulan itu, satu laporan telah dibuat oleh mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan Sindiket Pelaburan Tidak Wujud.

“Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

– SINAR HARIAN