Satu Lemas, Tiga Hilang Dalam Insiden Bot Nelayan Dan Tongkang Berlanggar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI: Seorang wanita ditemui lemas manakala tiga lagi rakannya termasuk seorang tekong bot dikhuatiri hilang selepas bot nelayan yang mereka naiki berlanggar dengan sebuah tongkang, di perairan kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman, pagi tadi.

Lima lagi mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita yang terbabit dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu ditemui selamat.

Kelima-lima mangsa itu berjaya diselamatkan sebuah bot nelayan lain yang secara kebetulan melalui tempat kejadian.

Setakat ini, identiti semua mangsa yang lemas, hilang dan selamat belum diketahui.

Ketika kejadian, semua mangsa yang berasal dari Gombak Selangor dan Raub Pahang itu dikatakan menyertai aktiviti memancing.

Mereka dikatakan menaiki bot terbabit di Jeti Bukit Kuang Kemaman, kira-kira jam 5 petang semalam sebelum bertolak ke laut untuk memancing.

Kejadian dipercayai berlaku ketika bot terbabit sedang berlabuh untuk memancing sebelum bot mereka secara tiba-tiba dikatakan dilanggar tongkang terbabit.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, semua mangsa berusia antara 23 hingga 70 tahun.

Katanya, mayat mangsa wanita yang ditemui lemas sudah dihantar ke Bilik Forensik Hospital Kemaman, untuk tindakan lanjut.

“Kami percaya ketika kejadian, semua mangsa sedang tidur sebelum bot mereka dikatakan dilanggar tongkang terbabit yang menyebabkan mangsa tercampak ke dalam laut.

“Semua mangsa yang terselamat dikatakan sempat berpaut pada tong-tong plastik dan barangan yang terapung,” katanya sambil menambah gerakan mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan.

– BERITA HARIAN