Terengganu Idam Pertahan Ibu Segala Pingat SUKMA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Biarpun diundi dalam ‘kumpulan maut’, pasukan bola sepak Terengganu menyasarkan untuk mempertahankan ibu segala pingat itu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal membuka tirainya bermula 17 hingga 24 Ogos ini di Sarawak.

Ketua jurulatihnya, Subri Sulong berkata, pasukannya yang turut diperkuatkan tiga pemain Terengganu FC II (TFC II) kini sudah bersedia 100 peratus untuk merangkul pingat emas sebagaimana yang diraih pada edisi ke-20 dua tahun lalu.

Jelas bekas pemain kebangsaan itu, prestasi permainan pasukan yang kian meningkat juga menjadi pemangkin semangat buatnya untuk membantu Terengganu meraih gelaran juara dua kali berturut-turut.

Bagaimanapun bekas ‘arkitek’ Terengganu itu yang dibantu Roshadi Wahab sedar laluan berliku bakal ditempuhi anak buahnya dalam merealisasikan impian menggunung itu.

“Atas kertas sudah pasti kita diletakkan sebagai pasukan pilihan dan mahu mara lebih jauh atas kejayaan merangkul kejuaraan itu pada edisi terdahulu.

“Namun ianya tidak semudah perancangan di kertas kerana Terengganu yang diundi dalam Kumpulan B bersama dua lagi pasukan iaitu Johor dan Sabah bakal melalui jalan berliku bermula di peringkat awal lagi.

“Bagaimanapun dengan perancangan dan persiapan yang rapi termasuk diperkuatkan tiga pemain TFC II iaitu Syukran Pauzi, Syafiq Ikhwan Mokhtar dan Daniel Syafik Mohamad, kami akan pergi satu perlawanan ke satu perlawanan sebelum mengintai peluang ke pentas final sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi sebelum ini.

“Besar harapan kami agar semua pemain yang diturunkan dalam temasya sukan edisi ke-21 ini mampu menyajikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan terutama aksi pertama berdepan Johor petang esok,” ujar Subri ketika dihubungi.

Pada edisi terdahulu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Terengganu yang ketika itu dibimbing Badrul Afzan Razali berjaya menamatkan badi 12 tahun selepas muncul juara menewaskan Pulau Pinang 2-0.

– BERITA HARIAN