PARIS: Kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 berjaya menuai pingat pertama apabila atlet olahraga negara Eddy Bernard menyumbang gangsa menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di de de France, di sini pada Ahad.
Atlet dari Sabah yang berlari di lorong ketiga bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan 11.58 saat (s).
Lebih manis, kejayaan atlet berusia 23 tahun itu pada penampilan sulung di pentas Sukan Paralimpik turut memecahkan rekod Asia milik wakil Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Eddy juga mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan berprestij dunia di Kobe itu.
Dalam pada itu, pingat emas disambar wakil Afrika Selatan, Mpumello Mhlongo dengan catatan 11.12s manakala pingat perak menjadi milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares dengan masa 11.20s,
Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula 28 Ogos lepas berakhir 8 Sept ini.
— BERNAMA