Penganggur Tak Mengaku Khianat Rosakkan Patung Buddha

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan merosakkan patung Buddha dan memecahkan kotak cermin kaca di sebuah tokong.

Tertuduh, Salim Yusof, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat iaitu dengan merosakkan patung Buddha dan memecahkan kotak cermin kaca milik Persatuan Nan Ann Terengganu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Kemajuan di sini, jam 7.15 pagi pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 9 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amalina Najwa Mohd Ali manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

– BERITA HARIAN