KOTA BHARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah agar rakyat sentiasa berwaspada dan bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh yang bakal melanda.
Baginda bertitah dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, risiko untuk berlakunya banjir di kawasan-kawasan tertentu adalah tinggi.
“Beta menyeru agar semua rakyat peka dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah hal itu agar segala persiapan awal dapat dibuat bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.
Baginda bertitah pada Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri Kelantan Sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang ke-55 di Istana Balai Besar, di sini, hari ini.
Sementara itu, Sultan Muhammad V merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas persetujuan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pangkalan Chepa daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter.
Titah baginda, langkah itu merupakan antara usaha menjadikan lapangan terbang berkenaan sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa dan meningkatkan infrastruktur pengangkutan Malaysia.
“Selain itu, jaringan pengangkutan dapat memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” titah Sultan Muhammad V.
Pada Mei lepas, kerajaan Persekutuan bersetuju untuk memanjangkan landasan LTSIP daripada 2,400 meter kepada 2,800 meter untuk menjadikannya sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Pengoperasian terminal LTSIP fasa satu pada 1 Mei lepas mampu menampung 1.5 juta penumpang, manakala pembinaan fasa dua akan dilaksanakan serta-merta dan dijangka menampung hingga empat juta penumpang.
Projek pembesaran dan naik taraf LTSIP membabitkan kos RM440 juta.
Sultan Kelantan juga menyeru agar projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) dapat dipercepat pelaksanaannya.
“Berdasarkan statistik terkini, negeri Kelantan merekodkan penyusutan Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi sektor pembuatan sebanyak 2.6 peratus berbanding pada tahun lepas.
“Harapan beta sektor pembuatan mampu ditingkatkan dan menjadi antara penyumbang kedua terbesar KDNK negeri ini. Beta menggesa agar pembangunan kawasan industri baharu dapat diadakan,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut berharap agar kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan untuk memanjangkan tempoh insentif pengecualian cukai di Kelantan selama 15 tahun lagi.
Titah baginda, penambahan tempoh insentif itu akan memberikan ruang yang lebih luas untuk pelaburan baharu memanfaatkan inisiatif pembangunan yang sedang berlangsung dan memastikan kejayaan serta kelestarian projek terlibat dalam jangka masa panjang.
— BERNAMA