Bank Dunia Naikkan Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Kepada 4.9 Peratus

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUMPULAN Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.9 peratus pada 2024, peningkatan sebanyak 14 peratus daripada 4.3 peratus yang ditetapkan pada April lepas.

Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, semakan naik itu didorong oleh faktor domestik dan luaran ketika ekonomi global mencatat prestasi lebih baik berbanding jangkaan pada enam bulan lepas.

Di peringkat domestik, beliau berkata, momentum ekonomi yang positif, peningkatan kestabilan politik dan persekitaran dasar yang terus kondusif serta memacu lebih banyak pelaburan, telah menyumbang kepada peningkatan unjuran pertumbuhan berkenaan.

“Pertumbuhan global itu dijangka stabil dalam lingkungan 2.6 peratus tahun ini walaupun dalam senario ketegangan geopolitik yang berterusan serta kadar faedah lebih tinggi… oleh itu, terdapat minat baharu terhadap pertumbuhan, khususnya dalam kalangan negara-negara maju.

“Malaysia berada dalam kedudukan yang baik. Dalam kalangan pasaran sedang pesat membangun secara amnya, (terdapat) aliran positif dalam keyakinan pengguna, pembuatan serta perkhidmatan,” katanya kepada media dalam sesi taklimat mengenai Tinjauan Ekonomi Malaysia bagi Oktober 2024 di pejabat Bank Dunia di Kuala Lumpur pada Selasa. – Bernama