KUANTAN – Pelbagai jenis dadah dengan anggarkan berat lebih 13.9 kilogram (kg) bernilai RM691,708 berjaya dirampas dalam serbuan Ops Hawk di negeri ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam operasi selama tiga hari pada 7 hingga 9 Oktober lalu, polis turut merampas lima kilogram daun ketum dan 103.65 liter air ketum.
Menurutnya, dadah yang dirampas melibatkan syabu dengan anggaran berat 12.3 kg, kokain (1.3 kg), heroin (108.97 gram), ganja (124.84 gram), pil yaba (23.88 gram) dan eremin 5 (1.01 gram).
“Turut dirampas sebuah kereta dan sebuah motosikal dianggarkan bernilai RM14,000.
“Rampasan dadah itu dilakukan susulan penahanan 323 individu termasuk 16 wanita berusia 18 hingga 66 tahun yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes dadah hasil serbuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beberapa individu berjaya ditahan di salah satu sarang penagihan yang diserbu dalam Op Hawk yang dijalankan di negeri ini.
Beberapa individu berjaya ditahan di salah satu sarang penagihan yang diserbu dalam Op Hawk yang dijalankan di negeri ini.
Yahaya berkata, daripada keseluruhan yang ditahan, 43 individu disiasat di bawah kesalahan mengedar, 83 memiliki dan 197 lagi menggunakan dadah.
Katanya, melalui operasi itu, 20 individu yang ditahan berpotensi untuk dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Op Hawk yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN ) Pahang itu ditumpukan di kawasan sarang penagihan dan lokasi hotspot aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di seluruh daerah di negeri ini.
“Operasi seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi membasmi permasalahan dadah, perlencongan sosial dan substan di negeri ini,” ujarnya.
Tambah Yahaya, sebarang maklumat berkaitan kesalahan dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) Pahang di talian 095051999/2202 dan talian hotline JSJN Pahang 09-5052287 atau mana-mana balai polis berdekatan.
– SINAR HARIAN