Tragedi Uitm Dungun: Pemandu Wanita Sekali Lagi Didakwa, Cubaan Bunuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi didakwa di mahkamah di sini, hari ini.

Norizan Ismail, 49, didakwa melakukan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan pada Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pantai berhadapan dengan UiTM Dungun pada 9 Oktober lalu pada jam 7.35 malam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu Mohd Zul Zakiquddin Zulkifli.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera boleh dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanim Ayim manakala tertuduh diwakili peguam, Ghazali Ismail.

Terdahulu, suri rumah berkenaan telah didakwa di Mahkamah Majistret Dungun atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian tiga penuntut UiTM.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20.

Norizan kemudian diarahkan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru, Johor.

Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.

– AWANI