Jenazah Ahmad Nawab Selamat Dikebumikan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JENAZAH Seniman Negara, Tan Sri Dr Ahmad Nawab selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih pada jam 11.15 pagi, Isnin.

Kira-kira 200 orang terdiri daripada kaum keluarga dan rakan industri mengiringi perjalanan akhir maestro muzik berusia 92 tahun itu.

Antara rakan industri yang kelihatan adalah anak didik Allahyarham, Ramlah Ram, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Yusof Haslam dan ramai lagi.

Allahyarham sebelum itu dimandi dan dikafankan di Surau Altarbiah Alislamiah Taman Melewar.

Allahyarham atau nama asal, Ahmad Khan Nawab Khan dilaporkan meninggal dunia di kediaman beliau di Taman Melewar, Gombak sekitar jam 3.15 petang.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ketujuh oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006.

Allahyarham mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an merupakan individu bertanggungjawab melahirkan ramai nama besar dunia seni suara.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan dan Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Legenda muzik Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun

Ahmad Nawab juga menggubah lagu Malaysia Truly Asia dendangan Khadijah, dianggap ikon kepada lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada antarabangsa.

Ahmad Nawab pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun dan memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

– SINAR HARIAN