Penduduk Pesisir Pantai ‘Bedah Air’ Elak Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – Aktiviti membuka aliran air bertakung atau lebih dikenali sebagai ‘bedah air’ oleh penduduk setempat dilakukan bagi mengelak ia melimpah di kawasan rumah penduduk berdekatan pesisir pantai sepanjang musim tengkujuh.

Baru-baru ini tular di media sosial video yang dikongsikan oleh seorang penduduk, Mohd Azahrul Ab Rami, 36, mengenai aktiviti tersebut yang dilakukan bersama kira-kira 20 rakannya dekat Pantai Taping, Kemasik, di sini pada Jumaat lalu.

Menurut Mohd Azahrul, selain dikenali sebagai ‘bedah air’ penduduk kampung turut menggelar aktiviti itu sebagai ‘korek alur’ bagi membuka laluan air bertakung untuk dilepaskan ke kawasan pantai.

“Kawasan air bertakung dekat dengan Pantai Taping ini pada asalnya merupakan sungai kecil.

“Apabila strukturnya telah berubah dan tiada tempat untuk mengalir, ia akan melimpah.

“Kalau hujan tak berhenti selama dua hari, air akan bertakung dan melimpah ke rumah penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu.

“Sebab itulah kita akan buka laluan air bagi memastikan tidak berlaku banjir di kawasan rumah yang berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka perlu menunggu selama dua hingga tiga hari agar takungan air tersebut habis mengalir ke pantai.

“Memandangkan jarak antara takungan air dengan kawasan pantai sejauh 12 meter, kesempatan yang ada ketika air mula-mula dilepaskan akan digunakan oleh anak muda di kawasan ini bermain air.

“Ada yang melakukan pelbagai gaya dan aksi seperti meluncur, meniarap dan lain-lain lagi. Masing-masing seronok dapat bermain air kerana situasi itu bukan sering terjadi.

“Selain bermain air, mereka juga mengambil kesempatn untuk menangkap ikan yang terdapat dalam takungan air tersebut,” ujarnya.

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti ‘bedah air’di Pantai Taping, Kemasik di sini.

Penduduk setempat tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti ‘bedah air’di Pantai Taping, Kemasik di sini.

Menurutnya, terdapat beberapa kawasan lain dekat Pantai Taping yang mengalami situasi sama di mana ia membentuk takungan air hujan.

Katanya, kawasan tersebut akan kembali dipenuhi air bergantung kepada taburan hujan.

“Selepas air dilepaskan ke pantai, jika ombak pasang besar, alur yang dibina akan tertutup kembali dan air akan kembali bertakung lagi.

“Situasi itu akan berlaku antara tiga hingga empat kali sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL),” katanya.

– SINAR HARIAN