PASIR PUTEH – Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terkena renjatan elektrik selepas terpegang jeriji besi pintu rumahnya yang ditenggelami banjir di Kampung Banir Belikong, Selising di sini, pada Rabu.
Mangsa, Tuan Mohd Zakaria Tuan Ismail, 35, yang merupakan seorang mekanik meninggal dunia di lokasi semasa kejadian kira-kira jam 4.30 pagi.
Adik ipar, Siti Nur Aziana Bidin, 18, berkata, kejadian yang menimpa bapa kepada dua anak itu sempat dilihat oleh anak lelakinya berusia sembilan tahun.
“Semasa kejadian anak saudara saya duduk di atas sofa, kemudian abang ipar yang kebetulan hendak masuk ke dalam rumah telah memegang jeriji besi pintu.
“Kemudian saya terdengar suara abang ipar menjerit dan rebah. Anak mangsa yang melihat kejadian itu kemudian telah memanggil neneknya meminta tolong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut dia, disebabkan arus deras air di hadapan rumah dan dalam menyebabkan Tuan Mohd Zakaria telah hanyut dibawa arus.
Ujarnya, rumah mereka terletak di tepi sungai dan semasa kejadian hujan lebat serta air deras.
Siti Nur Aziana memberitahu, abangnya, Mohamad Nor Hazli Bidin, 39, telah berusaha mencari Tuan Mohd Zakaria dengan meniti di atas wayar paip getah yang diikat pada tiang rumah serta pokok.
“Sekitar jam 6 pagi, sebaik sahaja azan Subuh, mayat abang ipar telah ditemukan di tepi rumah.
“Kemudian mayatnya diserahkan kepada pihak berkuasa dan dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Siti Nur Aziana, berhampiran jeriji besi pintu rumah tersebut terdapat plag mesin basuh yang dipercayai punca kepada aliran elektrik terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
– SINAR HARIAN